SIDS Marudi Komited Martabatkan Kraftangan Masyarakat Iban

Disiarkan pada 16 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS




MARUDI: Serakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) Marudi komited mempromosikan dan memartabatkan seni kraftangan masyarakat Iban.

 

Pengerusi SIDS Cawangan Marudi Kaunselor Yanti Nyanggau berkata, seni kraftangan Iban harus dimartabatkan supaya ia mempunyai nilai komersial yang boleh membantu menjana pendapatan golongan wanita.

 

“Selain itu, golongan wanita di rumah panjang boleh menjadikan kegiatan menghasilkan kraftangan untuk mengisi masa terluang,” ujarnya.

 

Beliau berkata demikian pada Bengkel Membuat Marik Empang Moden dan Beranyam Sidan di Rumah Tanjung Stapang B di sini pada Isnin.

 

Katanya, bengkel ini juga menggalakan anak-anak muda menanam minat untuk bergiat dalam aktiviti kraftangan tradisional dan mengekalkan warisan hasil kraftangan supaya tidak hilang ditelan zaman.

 

Difahamkan, seramai 25 peserta telah mengambil bahagian dalam bengkel selama sehari tersebut.

 

Turut hadir ialah Tuai Rumah Stapang B Tanjung Nudong dan Ketua Unit SIDS Rumah Tanjung Stapang B Sorina Tawi. -EDISI UKAS