KUALA LUMPUR: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi telah melakukan lawatan ke ibu pejabat Menara Affin Bank di Bangunan Tun Razak Exchange (TRX) pada Selasa.
Ketibaan Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah pada jam 10.30 pagi disambut mesra oleh Pengerusi Affin Bank, Dato Agil Natt serta isteri Datin Sharifah Fatmah Alhabshi bersama Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Affin Bank Berhad, Datuk Wan Razly Abdullah serta isterinya Datin Wan Deneena Liza.
Dalam sesi lawatan tersebut, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah mengunjungi beberapa tempat dan seksyen di pejabat Affin Bank, bermula di cawangan utama AFFIN KL yang terletak secara strategik di Tingkat 1 serta cawangan Affin Hwang Investment Bank yang terletak di sayap yang sama.
Selepas itu, beliau juga melawat pejabat Pengerusi Affin Bank Dato Agil di Tingkat 41 dan meluangkan masa berbual selama 30 minit.
Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi turut berkesempatan menandatangani buku pelawat dalam sesi lawatan tersebut.
Usai melawat pejabat Dato Agil, beliau menghadiri Majlis Pelancaran Affin Diventium Private Banking dan beliau menerima cenderamata iaitu dua buku berjudul ‘Dialog: Thoughts on Tunku’s Timeless Thinking’ dan ‘The Towns of Malaya’.
Lawatan tersebut diakhiri dengan sesi makan tengah hari bersama barisan pengurusan tertinggi Affin Bank. -EDISI UKAS