Wakil Rakyat GPS Bantu Bawa Pembangunan Ke Meradong

Disiarkan pada 16 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


BINTANGOR: Masyarakat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Meradong bertuah kerana mempunyai wakil rakyat dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang merangkumi peringkat Parlimen Sarikei. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong Datuk Ding Kuong Hiing berkata, gandingan dua wakil rakyat dari GPS itu banyak membawa perubahan ke kawasan tersebut dari segenap aspek pembangunan.

Menurutnya, kerjasama semua masyarakat di DUN itu penting bagi memastikan setiap perancangan dan pelan pembangunan dirancang dapat direalisasikan dengan jaya pada masa akan datang. 

“Kita merancang membawa lebih banyak pembangunan di kawasan ini kerana kita mahu melihat dan merapatkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar.

“Dalam merealisasikan impian dan matlamat ini, kerjasama semua terutamanya ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK) dan masyarakat setempat amat diperlukan.

“Justeru, kita mahu rakyat bersama dengan kita memainkan peranan masing-masing terutamanya menyalurkan maklumat berkaitan keperluan, masalah, kekurangan dan permohonan semasa agar tindakan segera perlu dilakukan untuk mengatasi setiap isu berbangkit,” katanya ketika berucap semasa mengadakan lawatan ke rumah panjang di kawasan DUN Meradong pada Isnin.

Dalam lawatan itu, Datuk Ding bersama rombongan melakukan lawatan ke enam buah rumah panjang di kawasan Sungai Buloh dan Sungai Meradong.

Dalam masa sama, Datuk Ding turut memaklumkan bahawa pasukan tugas khas daripada Jabatan Premier Sarawak akan mengadakan satu program kemasyarakatan untuk membantu individu yang tiada dokumen pengenalan diri pada 10 Jun sehingga 14 Jun di Pejabat Daerah Meradong.-EDISI UKAS