Budaya kunjung mengunjung perkukuh perpaduan masyarakat berbilang kaum

Disiarkan pada 16 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


BETONG: Aktiviti kunjung-mengunjung semasa musim perayaan memperlihatkan perpaduan silaturahim masyarakat daripada pelbagai latar belakang agama, budaya dan bangsa.

Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar Dato Gerald Rentap Jabu berkata, perpaduan yang diwarisi ini telah menjadi kekuatan dan memberi kelebihan. 

Jelasnya, ia memberikan suasana yang kondusif di dalam merencanakan dan melaksanakan pembangunan di kawasan. 

“Walaupun kita melihat berlaku di tempat lain, timbul perkara-perkara berkaitan agama dan kaum, tetapi untuk kita di Betong, kita tidak akan menjadikannya sebagai satu isu. Semasa perayaan kita kunjung-mengunjungi. Semasa susah, kita saling bantu-membantu. Semasa ada permasalahan timbul, kita dapat berbincang dan duduk semeja, sebelum timbulnya prasangka.

“Saya bersama Ahli Parlimen Betong akan terus membawa pelbagai program kerajaan yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat setempat. Sama ada dari segi infarastruktur dan prasarana mahupun dari segi sosio ekonomi,” katanya ketika ditemui media semasa aktiviti berkunjung ke kampung-kampung Melayu sempena Hari Raya Aidilfitri di Betong baru-baru ini.

Antara kampung yang sempat beliau kunjungi ialah Kampung Masjid, Kampung Tengah, Kampung Hilir, Kampung Baru Hulu, Kampung Baru Hilir dan Kampung Pasa Melayu, Betong.

Sementara itu, beliau turut mengunjungi sebanyak sembilan buah rumah dari kalangan penghulu, ketua kampung dan pemimpin Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Dalam kunjungan tersebut, beliau turut disertai oleh isterinya Datin Rosemarie Wong, Ahli Parlimen Betong Dr Richard Rapu, Temenggong Kueh Tu Teck, Pemancha Norman dan para AJK Gerempung Tuai Rumah Layar yang mewakili masyarakat Cina dan masyarakat Iban serta para ketua jabatan.

Pada sebelah petang, Dato Gerald turut berkesempatan menghadiri program Sambutan Ulangtahun Ke-100 Tokong Siang Ti Betong dengan aktiviti perarakan mengelilingi Pekan Lama Betong.

Upacara sambutan tersebut telah berlangsung selama lima malam berturut-turut bermula 7 hingga 11 April 2024 dengan pengisisan aktiviti ritual penganut agama Buddha, gerai jualan, pentas hiburan, pentas kebudayaan dan persembahan opera Cina. 

Sebanyak 60 kontinjen yang menyertai perarakan kali ini adalah dari kalangan wakil-wakil tokong Cina serta daripada Badan Bukan Kerajaan (NGO) komuniti Cina setempat iaitu dari Betong, Spaoh dan Debak selain penyertaan dari luar yang datang dari Kuching, Sri Aman, Engkelili, Saratok, Roban dan Sibu.

Turut hadir adalah Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Betong TPr Moris Nayup, Temenggong Masyarakat Cina Bahagian Betong selaku Penasihat Pengelola Perarakan Temenggong Kuek Tu Teck, Temenggong Masyarakat Cina Bahagian Sri Aman Temenggong Kueh Aik Seng, Pengerusi Persatuan Chung Hua Betong selaku Pengerusi Pengelola Perarakan Kapitan Own Chin Joo, Pengerusi Pertubuhan Agama Buddha Betong Kaunselor Patrick Own Chen Chiung serta Pengerusi Pertubuhan Meninggikan Akhlak Che Zhong Khor Betong Chan Chu Chu.-EDISI UKAS