BINTULU: Projek pembinaan SMK Samalaju yang bernilai RM57.6 juta dijangka siap pada Januari 2025.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Dato Majang Renggi berkata, SMK Samalaju ini bakal memberi manfaat kepada penduduk setempat khususnya anak-anak atau pelajar sekolah menengah di sepanjang jajaran laluan Pan Borneo, Jalan Bintulu-Miri, Jalan Bintulu-Bakun, Jalan Pesisir Bintulu-Nyalau, Taman Perindustrian Samalaju dan sektor perladangan kelapa sawit.
"Adalah diharapkan, pihak kontraktor terus bekerja keras dalam memastikan projek ini disiapkan sepenuhnya awal Februari depan dan dapat menerima pelajar pertama pada suku kedua tahun 2025.
"Oleh itu, kerjasama antara pihak kontraktor dan semua pihak sama ada melibatkan agensi kerajaan serta komuniti setempat amatlah diharapkan bagi memastikan kerja-kerja akhir pembinaan SMK Samalaju dapat dilaksanakan dengan lancar," katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media setelah melawat sekolah tersebut pada Isnin.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samalaju itu menambah, siapnya pembinaan SMK Samalaju ini akan menjadi salah sebuah sekolah menengah yang termoden di negeri ini yang menyediakan sebanyak 36 bilik darjah, 24 unit rumah guru dan dilengkapi dengan sebuah bangunan pentadbiran.
Tambahnya, kemudahan frasarana asas turut melengkapi sekolah ini termasuklah surau, dewan makan, dewan serbaguna, padang bola sepak dan lain-lain kemudahan.
Dalam pada itu, Dato Majang menjangkakan kebanyakan pelajar yang menuntut di sekolah ini nanti merupakan pelajar harian memandangkan akses jaringan jalan raya yang baik menghubungkan kawasan penempatan dengan SMK Samalaju.
Namun katanya, bagi memberi keselesaan terutamanya kepada pelajar yang tinggal agak jauh dari sekolah ini maka ditempatkan juga kemudahan berasrama iaitu dua buah blok asrama yang mampu menampung seramai 450 pelajar.
"Dengan adanya kemudahan asrama, SMK Samalaju diyakini mampu mengurangkan kepadatan pelajar berasrama di sekolah-sekolah lain di Bahagian Bintulu," ujar beliau lagi. -EDISI UKAS