PARA SUKMA: Sarawak Sasar 30 Emas Dalam Acara Olahraga

Disiarkan pada 03 Sep 2024
Sumber Berita: UKAS

KUCHING: Sarawak menyasarkan 30 emas menerusi acara olahraga pada temasya Para Sukan Malaysia (SUKMA) 2024.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata sebagai tuan rumah tahun ini, Sarawak menyasarkan 83 pingat emas dimana olahraga bakal menjadi antara lubuk terbesar mencapai misi itu.

“Sasaran kita adalah sekurang-kurangnya 83 emas keseluruhan, dan acara olahraga juga memainkan peranan sangat penting kerana banyak acara dibawah olahraga ini. Olahraga kita sasarkan 30 emas,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan persediaan atlet olahraga Para Sukma 2024 di Stadium Sarawak, di sini pada Isnin.

Mengulas mengenai persiapan atlet, Dato Sri Fatimah memberitahu persiapan kini berjalan dengan lancar dan kerajaan Negeri juga turut menyediakan elaun khas buat semua para atlet.

“Mereka juga diberi elaun semasa latihan sebab kita tahu bahawa ada di antara mereka tiada pekerjaan tetap. Ada yang bekerja secara harian, jadi ada di antara mereka terpaksa meninggalkan tempat kerja mereka semasa menjalani latihan dan tiada pendapatan, dari situ juga kita jaga kebajikan mereka dengan memberi elaun,”katanya.

Hadir sama, Timbalan Chef De Mission Sukma, Wilfred Yap Yau Sin dan Billy Sujang.-EDISI UKAS