KOTA SAMARAHAN: Seramai 14 pelatih telah berjaya menamatkan latihan dalam Program Kepakaran Semikonduktor khusus dalam Reka Bentuk Litar Bersepadu Analog (IC) dan Pembangunan Penyelesaian Ujian IC menandakan kejayaan pertama seumpamanya di Sarawak.
Menteri Pendidikan, Inovasi, dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, semua pelatih ini akan direkrut oleh SMD Semiconductor atau Melexis sebagai tanda komitmen teguh SMD untuk menghasilkan 500 profesional semikonduktor menjelang tahun 2030.
“Saya ingin memuji SMD atas kepimpinan mereka yang berwawasan dalam memulakan pembangunan bakat di bahagian hadapan rantaian nilai semikonduktor dengan kerjasama Melexis dan CENTEXS.
“Usaha anda telah meletakkan asas yang kukuh untuk masa depan industri semikonduktor di Sarawak dan saya yakin bahawa inisiatif ini akan terus membuahkan hasil pada tahun-tahun akan datang," katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Penutup Program Kepakaran Semikonduktor SMD Kumpulan Pertama di Akademi SMD, La Promenade di sini pada Isnin.
Dato Sri Roland juga menggalakkan pelatih untuk meneruskan kerjaya mereka di Sarawak selain mempelawa mereka yang bekerja di luar negara supaya pulang pada masa hadapan dan menyumbang kepada pembangunan Sarawak.
Pengerusi SMD Semiconductor itu juga menggesa syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang lain untuk mencontohi usaha cemerlang SMD dalam memajukan pembangunan bakat.
“Untuk pertumbuhan yang mampan, adalah penting bagi isyarikat-syarikat yang berkaitan kerajaan untuk merancang dan melaksanakan program pembangunan bakat yang memenuhi keperluan unik industri Sarawak.
“GLC perlu menyokong program-program ini dengan keperluan industri mereka yang dibantu oleh MEITD,” tambahnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SMD, Shariman Jamil mengumumkan 16 pelatih baharu dari institusi seperti Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Tun Abdul Razak (UTAR), Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Universiti Malaya (UM) dan Universiti Xiamen telah terpilih dari kalangan 124 pemohon tempatan dan 65 pemohon dari luar Malaysia untuk kumpulan kedua yang dijadualkan bermula pada 3 September 2024. -EDISI UKAS