SIBOFest 2024 Berlangsung 17-20 September Ini

Disiarkan pada 02 Sep 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Buat julung kalinya, Festival Band dan Orkestra Antarabangsa Sarawak (SIBOFest) 2024 akan berlangsung selama empat hari di Kuching, bermula 17 hingga 20 September ini.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, edisi sulung dengan tema 'Muzik, Budaya dan Persahabatan' itu dijangka diadakan di Sekolah Menengah Lodge, manakala acara utama iaitu Konsert Gala Finale bertempat di Hotel The Waterfront Kuching.

Menurutnya, festival tersebut bertujuan untuk memperluaskan akses kepada pendidikan muzik dengan menyediakan bengkel profesional yang mampu milik untuk pengamal muzik.

"Lebih 200 peserta yang terdiri daripada pemuzik, pendidik dan pakar industri serta 15 tutor dari Malaysia, Singapura dan Jepun bakal menyertai festival ini bagi membina hubungan antarabangsa melalui kelas muzik yang ditawarkan.

"Ini akan menjadi satu acara yang berimpak tinggi dalam kalendar seni muzik tempatan dan antarabangsa,"katanya dalam sidang media yang diadakan di Bangunan Baitulmakmur, Petra Jaya, di sini pada Isnin.

Tambah Dato Sri Abdul Karim lagi, SIBOFest 2024 bukan sahaja untuk pemuzik, malah terbuka untuk komuniti tempatan, yang mana gabungan aktiviti unik turut diadakan sepanjang acara dengan sokongan daripada Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) di bawah Dana Mudahcara Warisan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak.

Jelasnya lanjut, aktiviti berkenaan direka untuk memastikan peserta dan pengunjung dapat menikmati kekayaan budaya di bumi kenyalang sekali gus menyaksikan bakat-bakat yang memukau di pentas antarabangsa.

"Bakat pemuzik tempatan dan antarabangsa bakal ditonjolkan termasuk persembahan daripada At Adau, The Band Lab, serta 60 ahli daripada kumpulan muzik terkemuka Jepun, Aikodai Meiden High School Symphonic Band yang telah memenangi pelbagai anugerah.

"Oleh itu, SIBOFest 2024 dipercayai memberi manfaat ekonomi yang ketara dengan menarik pelancong, mempromosikan perniagaan tempatan dan memperkukuh reputasi Sarawak sebagai destinasi budaya di pentas antarabangsa,"ujar beliau.

Pendaftaran untuk SIBOFest 2024 kini telah ditutup, namun para penggemar muzik dari seluruh dunia masih dialu-alukan untuk menghadiri Konsert Gala Finale pada 20 September di Hotel The Waterfront Kuching dengan tiket kemasukan boleh dibeli dalam talian menerusi laman web thebandlab.com/sibofest/. -Edisi UKAS