9 Pelatih Jepak Jalani Program Latihan Kompetensi Kemahiran Belia Di ABM Sarawak

Disiarkan pada 02 Sep 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Seramai sembilan pelatih daripada Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak bakal menjalani Program Latihan Kompetensi Kemahiran Belia dalam Kursus Mekanikal dan Elektrikal dengan persijilan Penyaman Udara & Pengudaraan Mekanikal di Akademi Binaan Malaysia Wilayah Sarawak.

Program tersebut bertujuan membangunkan kemahiran belia tempatan dalam bidang pembinaan, dengan matlamat jangka panjang untuk menyokong pertumbuhan ekonomi di kawasan Jepak dan seterusnya Bintulu.

Empat pelajar telah dibiayai oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), manakala lima lagi daripada Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD) dengan Pusat Khidmat DUN Jepak turut membantu dengan menyediakan wang saku kepada para pelajar tersebut.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak Iskandar Turkee berkata, pemilihan kursus atau persijilan yang ditawarkan adalah untuk memastikan pelatih tersebut dapat menjalani latihan yang mampu memberi pulangan lumayan kepada diri pelatih setelah tamat pembelajaran kelak.

“Sembilan pelajar ini akan menjadi permulaan di mana mereka ini akan menjadi duta di Jepak untuk menguar-uarkan bahawa apa yang mereka peroleh dari ABM ini mampu memberi satu impak yang tinggi bukan sahaja kepada diri mereka tetapi keluarga juga,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Pelatih DUN N67 Jepak Untuk Program Latihan Kompetensi Kemahiran Belia Tajaan MEITD Dan CIDB Malaysia di Kompleks CIDB di Kuching pada Isnin.

Tambahnya, persijilan lain juga bakal ditawarkan berdasarkan pengambilan pengkhususan mahupun persijilan yang disediakan oleh pihak ABM Wilayah Sarawak dan CIDB.

Jelasnya, masih ramai lagi yang berminat menyertai Program Latihan Kompetensi Kemahiran Belia namun persijilan yang diingini tidak ditawarkan namun mengesyorkan banyak lagi tawaran bakal disediakan oleh ABM Wilayah Sarawak.

Iskandar memberitahu, pemilihan pelajar daripada DUN Jepak berdasarkan pelajar B40 dengan nama, maklumat serta keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mereka termasuk melalui pelbagai lagi tapisan lain sebelum nama mereka dihantar ke ABM Wilayah Sarawak untuk diterima masuk.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif ABM Wilayah Sarawak Abdul Rahman Ahmad dan Pengarah CIDB Negeri Sarawak Rosmen Ag. Hassan. -EDISI UKAS