Pusat Service Sarawak Sarikei Mula Beroperasi Hari Ini

Posted on 02 Sep 2024
Source of News: UKAS


SARIKEI: Pusat Service Sarawakk (PSS) Sarikei mula beroperasi hari ini dan menyediakan kemudahan untuk komuniti setempat.

PSS adalah inisiatif transformasi penyampaian perkhidmatan sehenti oleh Kerajaan Sarawak yang mesra rakyat, di mana perkhidmatan disediakan melalui pelbagai saluran seperti kaunter, aplikasi mudah alih, portal rasmi dan e-kiosk.

Unit Digitalisasi Perkhidmatan Awam Sarawak memaklumkan, PSS telah beroperasi di enam bahagian iaitu Kuching, Serian, Betong, Sri Aman, Sibu dan Miri.

PSS Sarikei merupakan pusat PSS yang ketujuh di Sarawak.

Antara perkhidmatan yang disediakan oleh PSS termasuk pembayaran bil air, elektrik, cukai taksiran, Sarawak Gas, bayaran balik pinjaman perumahan kepada Perbadanan Pembangunan Perumahan Sarawak (HDC) dan sewa tanah.

PSS Sarikei beroperasi dari Isnin hingga Jumaat dan ditutup pada Sabtu, Ahad dan cuti umum

Untuk rekod, PSS Sarikei terletak di Aras 1, Lot 755, Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak, Bahagian Sarikei di Jalan Seng Lee. -EDISI UKAS