BAU: Sebanyak RM350,000 telah diluluskan untuk dua projek di bawah peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) 2025 bagi menyediakan kemudahan fasiliti di Kampung Pengkalan Bau.
Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Sungai dan Laut) Dato Henry Harry Jinep memberitahu, geran sebanyak RM200,000 adalah bagi membina baharu dewan serbaguna manakala RM150,000 lagi adalah untuk membina baharu gelanggang futsal dan sepak takraw.
“Pembinaan baharu kedua-dua fasiliti berkenaan merupakan perancangan jangka pendek sejajar dengan permohonan yang dibuat sebelum ini kepada kerajaan negeri untuk mewujudkan kampung tersebut kepada dua perkampungan iaitu Kampung Pengkalan Bau dan Kampung Loji Bau,” jelasnya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Perasmian Kejohanan Sepak Takraw Liga Novis di Kampung Pengkalan Bau di sini pada Sabtu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru itu berkata, beliau telah mencadang membina jalan baharu untuk perancangan jangka panjang.
Menurutnya, jalan baharu itu akan bersambung ke jalan raya utama sebagai laluan penduduk untuk ke pekan Bau dan beliau berharap pemilik tanah terbabit bersetuju menyerahkan tanah untuk tujuan tersebut.
Sementara itu, Dato Henry juga mencadangkan penganjuran kejohanan sepak takraw terbuka Bau diadakan di Stadium Mini Bau setelah kerja membaik pulih disiapkan sepenuhnya pada tahun hadapan.
Hadir sama, Penghulu Masyarakat Melayu Daerah Bau Wahab Mainol, Ketua Kaum Kampung Pangkalan Bau Zainal Mat dan Ketua Biro Sukan Kampung Pangkalan Bau Wahab Joni. -EDISI UKAS