LIMBANG: Penganjuran Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) terus menggalakkan transformasi sistem kesihatan negara daripada penjagaan pesakit kepada penjagaan kesihatan.
Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah berkata, hal ini untuk memperkasakan orang awam untuk bertindak ke arah mengamalkan kawalan kesihatan kendiri termasuk meningkatkan kesedaran saringan kesihatan kepada golongan remaja yang berusia 18 tahun dan ke atas.
Justeru, beliau amat menyokong penuh Agenda Nasional Malaysia Sihat yang telah diperkenalkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam meningkatkan literasi kesihatan dalam pembudayaan hidup sihat dan kebersihan persekitaran.
"Saya menyeru agar semua jabatan dan agensi kerajaan sama ada persekutuan dan negeri, agensi swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan seluruh penduduk Limbang agar sama-sama menyokong agenda ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) Daerah Limbang 2024 di Dewan Suarah Limbang pada Sabtu.
Tambahnya, ANMS juga bertujuan untuk menjadikan rakyat Malaysia yang sihat sejahtera dengan mengamalkan cara hidup sihat seperti melakukan aktiviti kecergasan fizikal, makan secara sihat, bijak tangani stress, tidak merokok dan menjaga kebersihan persekitaran.
Sslain itu, Ahli Parlimen Limbang itu memberitahu, KKM turut mengadakan Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan (NHSI) yang merupakan satu lagi inisiatif KKM untuk menggalakkan rakyat Malaysia supaya tampil melakukan saringan kesihatan bagi mengenal pasti risiko dan mengesan penyakit tidak berjangkit di peringkat awal.
"Oleh demikian, penglibatan dan penyertaan secara menyeluruh agensi kerajaan, badan bukan kerajaan, pihak swasta serta rakyat amat diperlukan dan ini selari dengan pelaksanaan ANMS yang menggunakan pendekatan 'Whole of Nation'. -EDISI UKAS