KUCHING: Sambutan Hari Kebangsaan 2024 Peringkat Kampung Sungai Lajim atau lebih dikenali dengan nama Kampung No.5, diadakan dengan penuh semangat dan keunikan tersendiri, mencerminkan keharmonian serta kesepakatan komuniti setempat.
Pada tahun ini, sambutan di peringkat kampung dirancang untuk melibatkan semua lapisan masyarakat, dari kanak-kanak hingga warga emas dengan pelbagai aktiviti menarik dan kreatif.
Salah satu aktiviti yang ditunggu-tunggu adalah mendeklamasi sajak di mana golongan muda akan diberi peluang untuk menyampaikan sajak bertemakan kemerdekaan dan cinta kepada tanah air.
Aktiviti ini bukan sahaja menggalakkan kreativiti dan keberanian berucap di hadapan umum, tetapi juga menyematkan lagi semangat patriotisme dalam kalangan peserta dan penonton.
Selain itu, pertandingan dekorasi puding bertemakan kebangsaan diadakan sebagai satu aktiviti yang unik melibatkan peserta atau kumpulan dikehendaki menghias puding dengan tema kebangsaan menggunakan warna-warna bendera Malaysia atau elemen-elemen yang melambangkan sejarah dan budaya negara.
Pertandingan ini bertujuan menggabungkan kemahiran memasak dan kreativiti, sambil memupuk rasa cinta terhadap negara melalui seni kulinari.
Di samping itu, turut diadakan adalah pertandingan membina mini arca Merdeka juga menjadi salah satu aktiviti yang menarik perhatian ramai.
Peserta akan diberi masa untuk membina arca mini yang melambangkan kemerdekaan menggunakan bahan-bahan yang mudah didapati di sekitar kampung di mana aktiviti ini dilihat mampu memupuk semangat kerja berpasukan dan kreativiti dalam menghasilkan sesuatu yang melambangkan semangat perjuangan dan kemerdekaan.
Tidak ketinggalan, pertandingan karaoke lagu patriotik turut dianjurkan untuk menghidupkan suasana sambutan.
Secara keseluruhannya, sambutan Hari Kebangsaan 2024 peringkat kampung bukan sahaja menjadi medan untuk menunjukkan kreativiti dan semangat kemerdekaan dan kebangsaan, tetapi juga memperkukuhkan silaturahim serta semangat kejiranan di kalangan penduduk kampung.
Dengan pelbagai aktiviti yang menarik dan bermakna, ia diharapkan dapat memupuk rasa bangga dan cinta terhadap negara dalam kalangan semua penduduk kampung
Turut hadir, Temenggong Bahagian Kuching Abdullah Jamel, Penghulu Omar Ini, Ketua Kaum Salmiah Muhi dan Ketua Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Satok Salina Salleh. -EDISI UKAS