200 Perserta Sertai Fun Run Community Merdeka

Disiarkan pada 01 Sep 2024
Sumber Berita: UKAS


KOTA SAMARAHAN: Seramai 200 peserta telah menyertai program ‘Fun Run Community Merdeka’ bertemakan 'We Love We Care' sempena Hari kebangsaan Malaysia ke-67 yang berlangsung di Dewan Perpaduan Taman Samarindah, Kota Samarahan pada Sabtu.

Program ini merupakan acara larian 5 kilometer yang bertemakan kemerdekaan di mana acara ini disertai oleh komuniti tanpa had umur.

Ianya bertujuan untuk memupuk masyarakat supaya sentiasa mengamalkan cara hidup yang sihat selain meningkatkan kesedaran komuniti setempat untuk bekerjasama dalam membanteras pelbagai masalah sosial di tempat kediaman supaya kawasan kediaman sentiasa selamat untuk didiami.

Pengerusi Perbandaran Majlis Perbandaran Kota Samarahan, Dato' Peter Minos berkata, selain untuk kesihatan dan membanteras masalah sosial, program ini juga bertujuan menyemarakkan lagi sambutan bulan kemerdekaan dan memupuk semangat patriotik dalam diri dengan mengibarkan bendera Malaysia.

Beliau turut berharap program ini dapat memupuk semangat komuniti setempat menunjukkan rasa cinta dan sayangkan negara dengan mengibarkan bendera Malaysia.

"Di kesempatan ini, saya menyeru seluruh komuniti untuk mengibarkan bendera Malaysia di semua permis termasuk rumah masing-masing sebagai tanda cinta kita kepada negara.

“Semangat patriotisme dan kecintaan yang tinggi kepada negara merupakan benteng bagi mempertahankan serta menjamin keharmonian dan kedaulatan negara terus terpelihara,” katanya semasa berucap pada Majlis Penutupan Program Fun Run Community Merdeka.

Turut hadir sama ialah Timbalan Pengerusi Perbandaran Majlis Perbandaran Kota Samarahan Muttalib Julaihi dan Pemangku Setiausaha Majlis Perbandaran Kota Samarahan Gustian Durani. -EDISI UKAS