Pertandingan Bola Sepak 7 Sebelah Pupuk Semangat Cinta Negara

Disiarkan pada 01 Sep 2024
Sumber Berita: UKAS



SIMUNJAN: Persatuan Anak-Anak Kelka telah menganjurkan Pertandingan Bola Sepak 7 Sebelah bersempena Pestabola Merdeka Kelka 2024 di Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Man pada Sabtu. 

 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan Awla Dris bersama isterinya, Napsiah Abang Kaderi telah meluangkan masa menyaksikan perlawanan akhir dan menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

 

Difahamkan, pertandingan itu bermula pada 17 Ogos dan diadakan bagi memupuk semangat cintakan negara serta menyemarakkan suasana Sambutan Hari Kebangsaan Ke-67.

 

Pertandingan bola sepak 7 sebelah itu dibahagikan kepada dua kategori iaitu kategori lelaki yang disertai 20 pasukan dan kategori wanita yang melibatkan lima pasukan.

 

Johan bagi kategori lelaki telah dimenangi oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Simunjan setelah menewaskan pasukan CTTR (A) yang ditentukan melalui sepakan penalti dengan jaringan 5-4.

 

IPD Simunjan telah membawa pulang wang tunai sebanyak RM400 berserta piala dan pingat, manakala naib johan, CTTR (A) menerima wang tunai RM300 juga berserta piala dan pingat.

 

Manakala, tempat ketiga jatuh kepada pasukan Sungai Apin FC yang membawa pulang wang tunai RM200 bersama piala dan pingat.

 

Sementara itu, Sally FC telah muncul johan bagi kategori wanita dan menerima wang tunai RM400 berserta piala dan pingat.

 

Naib johan disandang oleh pasukan PIBG SK Abang Man dan tempat ketiga dimenangi oleh Gelik Ati FC yang menerima wang tunai RM300 dan RM200 berserta piala serta pingat masing-masing.

 

Turut hadir, Pengerusi Pestabola Merdeka Kelka 2024 merangkap Pengerusi Persatuan Anak-Anak Kelka Simunjan Kaunselor Mohd. Khairul Arman Mohmad, Ketua Pergerakan Pemuda PBB Cawangan Simunjan 3. Kaunselor Mohammad Zaini bin Haji Morshidi dan Ketua PBB Zon 4 Rangawan Rafendy Ariffen. -EDISI UKAS