Tradisi Kunjung Mengunjung, Pelihara Hubungan Baik Antara Kaum

Disiarkan pada 16 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS

BELAWAI: Tradisi kunjung mengunjung semasa musim perayaan perlu dikekalkan dalam usaha memperkukuh perpaduan di kalangan rakyat berbilang kaum di negeri ini.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh berkata, kerajaan amat menggalakkan budaya ini dikekalkan bagi memelihara hubungan baik antara kaum.

Menurutnya, amalan kunjung-mengun­jung bukan sahaja bagi sambutan Hari Raya, malah bagi perayaan-perayaan lain seperti Tahun Baharu Cina, Gawai, Krismas dan sebagainya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Riang Ria Aidilfitri Bersama Pemimpin di Kampung Belawai di sini pada Ahad.

Majlis tersebut merupakan anjuran Ranting PBB Kampung Belawai dengan kerjasama Pusat Khidmat Kuala Rajang dan Parlimen Tanjong Manis.

Sementara itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang menegaskan, perpaduan dan keharmonian masyarakat pelbagai kaum yang sedia terjalin perlu dikekalkan sebagai pemangkinkemakmuran di negeri ini.


Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Ahli Parlimen Tanjong Manis Yusuf Abd Wahab, Pemangku Pegawai Daerah Tanjung Manis Ismail Kasah serta tetamu jempitan lain. -EDISI UKAS