Beri Penerangan & Kefahaman Dasar Kerajaan Kepada Rakyat Di Peringkat Akar Umbi

Disiarkan pada 16 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


KAPIT: Ketua masyarakat berperanan dalam memberikan penerangan dan kefahaman kepada rakyat tentang pembangunan dan dasar-dasar yang dibawa oleh kerajaan negeri dan pusat.

Menteri Kerja Raya Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, sebagai pemimpin di peringkat akar umbi, ketua masyarakat perlu memahami tugas dan tanggungjawab masing-masing dalam perkara tersebut.

Menurutnya, mereka perlu memberi kefahaman mengenai dasar dan sistem pentadbiran kerajaan semasa kepada masyarakat di bawah jagaan masing-masing.

Beliau berkata demikian semasa majlis penyerahan sijil kepada ketua-ketua masyarakat yang baharu dilantik dan dilantik semula di Pejabat Daerah Kapit di sini pada Sabtu.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kapit itu memberitahu, sebagai pemimpin masyarakat, mereka harus bertanggungjawab di kampung masing-masing mengikut bidang kuasa tugas yang diamanahkan.

Malah jelasnya, mereka perlu memiliki kebijaksanaan dan mengetahui sistem pentadbiran di negara ini.

Hadir sama dalam majlis itu ialah Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang dan Adat Bumiputera) Datuk Jefferson Jamit Unyat, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelagus Wilson Nyabong Ijang, Timbalan Residen Bahagian Kapit Robert Liman dan Pegawai Daerah Kapit Cerisologo Sabut. -EDISI UKAS