SOCC Komited Memperluas Sajian Menu Mewah Secara Komersial

Disiarkan pada 16 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: SOCC Holdings Sdn Bhd komited memperluas pengalaman menyajikan menu mewah secara komersial.

Pengarah Urusan Kumpulan SOCC Holdings Sdn Bhd, Amin Aznizan berkata, usaha itu menjadi kesinambungan setelah berjaya menyajikan menu mewah untuk petugas pelantar minyak luar pantai.

“Di Kuching kami turut bekerjasama dengan Dewan Baitullmal, Dewan CIDB, Dewan Hikmah dan Citadine serta banyak lagi usahasama dengan panel katering untuk bekerjasama dalam majlis-majlis,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa Majlis Rumah Terbuka SOCC Holdings Sdn Bhd di Dewan Baitullmal di sini pada Isnin.

Berbekalkan lebih 40 tahun pengalaman dalam servis katering untuk industri minyak dan gas di luar pesisir, syarikat itu terkenal dengan sajian berkualiti dan mahukan orang ramai turut menikmati pengalaman yang sama.

Biarpun memiliki pengalaman yang lama Amin mengakui antara cabaran besar yang harus dilalui pihaknya adalah mengekalkan kualiti makanan selain mendapatkan tenaga kerja terlatih bagi memenuhi tuntutan piawaian antarabangsa dan berdaya saing.

SOCC telah beroperasi di Miri, Terengganu dan telah membuka restoran Kedey Kamek di Kuala Lumpur dan Kuching.

Sementara itu, Majlis rumah terbuka tersebut dihadiri Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan seni persembahan( Industri Kreatif dan Seni Persembahan), Datuk Snowdan Lawan dan Timbalan Menteri Pengangkutan (Penerbangan dan Jalan Raya) Datuk Dr Jerip Susil serta tetamu lain.- EDISI UKAS