Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Imbau Perjuangan Menentang Komunis

Disiarkan pada 30 Aug 2024
Sumber Berita: UKAS



SIBU: Lawatan Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar ke Galeri Pemerintahan Keselamatan Kawasan Rajang (RASCOM) di sini mengimbau kembali perjuangan bersama menentang ancaman komunis di Sarawak.

Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi sebelum menyandang jawatan sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak memulakan kerjayanya dengan menyertai pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada tahun 1964.

Beliau kemudiannya berkhidmat dalam Pasukan Polis Hutan dari tahun 1968 hingga 1973, di mana beliau terlibat secara aktif dalam operasi menentang Parti Komunis Kalimantan Utara (PKKU) di kawasan Miri, Sibu dan Kapit.

Dalam tempoh itu, beliau juga pernah bertugas di RASCOM dan mempertaruhkan nyawa dalam beberapa siri operasi untuk mempertahankan kedaulatan tanah air.

RASCOM ditubuhkan pada 26 Mac 72 oleh Perdana Menteri Malaysia Kedua, Tun Abdul Razak Hussein, melalui Direktif No. 4 Majlis Keselamatan Negara.

Ini bertujuan mengawal kegiatan Parti Komunis Kalimantan Utara (PKKU) yang semakin meningkat di kawasan tengah Sarawak.

Kawasan tanggungjawab RASCOM meliputi 58,544 kilometer persegi, termasuk daerah Sarikei, Mukah, Sibu, dan Kapit.

Galeri RASCOM yang ditubuhkan pada tahun 2012 adalah hasil ilham Brigedier Jeneral Datuk Stephen Mundaw, Panglima 9 Briged yang Ke-18.

Dalam lawatan itu, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi bersama isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi berkesempatan melihat lebih dekat artifak penting yang merangkumi sejarah penubuhan dan pengoperasian RASCOM dan dibahagikan kepada enam bahagian utama termasuk pelan utama RASCOM, penubuhan, aktiviti, operasi ketenteraan, sejarah unit dan pembangunan kawasan keselamatan.

Terdahulu beliau telah diberikan taklimat oleh Panglima 9 Briged, Brigadier Jeneral Ahmad Norzaini Badrun.

Hadir sama Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom, Panglima Medan Timur Tentera Darat Leftenan Jeneral Dato' Mohd Sofi Md Lepi, Panglima 1 Divisyen Mejar Jeneral Datuk Mohamed Fauzi Kamis dan Residen Bahagian Sibu Abang Mohamad Porkan Abang Budiman.-EDISI UKAS