SADONG JAYA: Sekolah Kebangsaan (SK) Terasi yang telah disiapkan sepenuhnya akan diserahkan kepada pihak sekolah dalam masa terdekat.
Ahli Parlimen Batang Sadong Rodiyah Sapiee berkata, SK Terasi ini telah disiapkan sepenuhnya pada bulan Mei tahun ini dan setakat ini tidak mengalami masalah besar.
“Pada minggu hadapan, pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan melakukan pemeriksaan ke atas bangunan sekolah tersebut supaya Sijil Menduduki Bangunan (OP) dapat dikeluarkan.
"Pemeriksaan ini diperlukan dan penting supaya sijil OP dikeluarkan dan seterusnya penyerahan bangunan tersebut dapat diperolehi secepat mungkin," jelasnya.
Beliau berkata demikian semasa lawatan kerja ke tapak projek sekolah tersebut pada Khamis.
Tambahnya, apabila sekolah itu bermula beroperasi, ia membolehkan para pelajar serta guru menikmati kemudahan pembelajaran dan pengajaran dengan suasana kelas yang lebih kondusif dan selamat.
Difahamkan, SK Terasi merupakan salah satu sekolah di dalam projek Cadangan Pembangunan Semula Sekolah Daif Di Negeri Sarawak Di Bawah Peruntukan RM1 Billion (Fasa 2) Pakej 3 yang menelan kos sebanyak RM3,251,078.83.
Antara komponen-komponen projek tersebut adalah enam bilik darjah, bilik sains, tandas, rumah pam dan tangki air bertingkat.
Turut hadir, Pegawai Pendidikan Daerah Samarahan Awang Hepeni Awang Onget, Jurutera Bahagian Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Samarahan Saribudin Katang, Ketua Balai, Balai Bomba dan Penyelamat Kota Samarahan Ebby Hirwandy Sarbini, Pegawai Tadbir Pejabat Residen Bahagian Samarahan Sanuyah Mohammad dan Guru Besar SK Terasi Mohammad Ismail. -EDISI UKAS