Jambatan Kabel Di Piasau Bakal Jadi Mercu Tanda Ikonik Baharu Di Miri 

Disiarkan pada 16 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


MIRI: Bandar raya Miri bakal mempunyai satu lagi tarikan pelancongan dan menjadi mercu tanda ikonik baharu apabila Jambatan Piasau yang akan dibina siap kelak.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, kerajaan Sarawak telah meluluskan pembinaan jambatan kabel tersebut yang akan menghubungkan Piasau berhampiran Hutan Simpan Piasau ke Marina Miri.

Menurut beliau, Jambatan Piasau ini akan menjadi jambatan kabel sama seperti Jambatan San Francisco-Oakland Bay dan Jambatan Golden Gate yang terkenal.

"Jambatan ini juga akan menjadi mercu tanda ikonik baharu di Miri", katanya semasa berucap dalam Majlis Ramah Tamah Lembaga Amanah Kebajikan Miri di Mega Hotel pada Isnin. 

Dalam pada itu, Premier Sarawak menyatakan, Miri bersedia untuk berubah menjadi sebuah bandar peranginan yang pesat membangunkan selain memiliki tapak warisan  yang diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

"Kalau Kuching ada Jambatan Darul Hana, maka kita ada jambatan ikonik di Miri. Nama bagi jambatan saya kita belum tahu, tapi kita akan bina jambatan itu dahulu,” ujar beliau. 

Majlis tersebut turut menyaksikan penyampaian sumbangan tanggungjawab sosial korporat daripada empat syarikat korporat di bahagian Miri kepada Lembaga Amanah Kebajikan Melayu Miri.

Antara sumbangan itu adalah daripada Shin Yang Sdn Bhd sebanyak RM50,000, Empayar Setia Sdn Bhd RM30,000, Kencana Defence & Aviation Sdn Bhd RM 15,000 dan Samling Strategic Corporation sebanyak RM10,000.

Turut menyerikan majlis itu ialah Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi, Yang di-Pertua Dewan Negara, Datuk Mutang Tagal, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi, Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Fazzrudin Abdul Rahman serta tetamu kenamaan lain.-EDISI UKAS