Datuk Amar Awang Tengah Wakil Sarawak Sertai ALC-25 Antara Malaysia & Brunei

Disiarkan pada 29 Aug 2024
Sumber Berita: Ukas


KUCHING: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan telah mewakili Sarawak dalam menyertai delegasi Malaysia menghadap Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah sempena Rundingan Pemimpin Tahunan ke-25 (ALC-25) antara Malaysia dan Brunei yang diadakan di Istana Nurul Iman, di Bandar Seri Begawan baru-baru ini.

Delegasi yang diketuai Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim itu turut disertai Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, Menteri Luar Negeri Dato' Seri Utama Mohamad Hasan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Pendidikan Tinggi Dato Seri Zambry Abdul Kadir, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan beberapa kenamaan yang lain.

Menerusi rundingan tersebut, Malaysia dan Brunei bersetuju untuk meningkatkan kerjasama dalam pelbagai bidang terutama pelancongan, pendidikan, pelaburan, sastera, teknologi, dan ketenteraan.

Pada masa sama, kerjasama ini dijangka memberikan manfaat besar kepada Sarawak, dengan merangsang pertumbuhan ekonomi, memperkukuh hubungan budaya serta membuka peluang baru dalam sektor-sektor utama.

Ke arah lembaran baharu, tiga instrumen dua hala telah dimeterai bagi mengukuhkan lagi hubungan diplomatik antara kedua-dua negara itu yang telah terjalin selama 40 tahun.

Ketiga-tiga instrumen berkenaan termasuk Memorandum Persefahaman (MoU) Fasa Pertama melibatkan persempadanan darat antara Malaysia dan Brunei, MoU dalam bidang pengangkutan bagi kerjasama penerbangan membabitkan Brunei, Sarawak dan Sabah disusuli pertukaran nota mengenai persetujuan menubuhkan jawatankuasa sementara bagi menyelaras akses maritim.

Perkara ini turut dimaklumkan oleh Dato' Seri Anwar dalam satu sidang media yang diadakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei sebelum pulang ke Kuala Lumpur selepas lawatan dua harinya ke negara jiran itu.-Edisi UKAS