Premier Sarawak Teruskan Ziarah Aidilfitri Di Miri

Disiarkan pada 15 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS

MIRI:  Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr. Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg bersama isteri Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang meneruskan kunjungan rumah terbuka Hari Raya di Miri pada Isnin.

Terdahulu, Premier Sarawak bersama isteri memulakan ziarah Aidilfitri pada 6 Syawal dengan menyerikan majlis Rumah Terbuka Hari Raya anjuran Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Datuk Dr Ripin Lamat. 

Selepas itu beliau serta rombongan berkunjung ke kediaman Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Rosey Yunus dan mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lambir, Dato Usop Wahab.

Seterusnya, Premier Sarawak ke kediaman Temenggong Datuk Abdul Rahman Abang Fadzail dan sebelum mengunjungi kediaman Timbalan Menteri Kesihatan, Dato Lukanisman Awang Sauni. 

Di situ, isteri beliau telah menyerahkan sumbangan duit Raya kepada seramai 33 anak yatim dari Rumah Kebajikan Hamidah Yakub Miri.

Pada sebelah malam ini, Datuk Patinggi Abang Zohari dijangka menghadiri Majlis Ramah Tamah Lembaga Amanah Kebajikan Miri, di Mega Hotel.-EDISI UKAS