MIRI: Curtin University Malaysia (Curtin Malaysia) telah menganjurkan program kesedaran dadah bertemakan "Quit Drugs: A Journey of Transformation" di LT Foyer, Curtin Malaysia, Miri pada Rabu.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dato Dennis Ngau.
Berucap ringkas dalam program itu, beliau memberitahu program tersebut mampu meningkatkan kesedaran masyarakat tentang bahaya penyalahgunaan dadah dan memberikan sokongan kepada usaha pemulihan.
Jelasnya, kerjasama antara pihak berkuasa dan masyarakat penting dalam menangani permasalahan dadah.
Beliau turut menekankan masalah dadah kini bukan sahaja tertumpu di bandar, malah telah merebak ke kawasan luar bandar.
Justeru, beliau menyeru supaya lebih banyak program 'outreach' dijalankan di kawasan luar bandar untuk menangani masalah ini.
Dalam majlis sama, Dato Dennis turut mengumumkan sumbangan lima buah katil dua tingkat kepada pusat pemulihan KENOSIS Miri sebagai sokongan kepada usaha pemulihan dadah di kawasan tersebut. -EDISI UKAS