KABONG: Kerajaan telah meluluskan RM66 juta bagi harga siling projek di Kabong.
Ini termasuk projek rancangan memulihkan koridor Sungai Seblak di Kampung Sungai Benang dengan harga siling sebanyak RM21 juta.
Selain itu, projek membina saluran lencongan Sungai Seblak di Kampung Sungai Benang dan Empayang turut diluluskan dengan harga siling RM45 juta.
Pekara tersebut dimaklumkan Jurutera Bahagian Betong, Jabatan Pengairan dan Saliran Betong, Rollin Jenta Gem semasa sesi randau berkenaan muara Sungai Bubus Alit dan tinjauan terhadap masalah hakisan tanah di tebingan Sungai Seblak di sini, pada Selasa.
Sesi tersebut dianjurkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Mohd Chee Kadir.
Sementara itu, projek mengatasi banjir pantai Sarawak turut diluluskan dan masih di dalam peringkat pra-kelayakan tender.
Projek tersebut akan dilaksanakan secara berpakej dan bahagian Betong merupakan pakej ketiga daripada lima pakej.
Antara projek yang terlibat di dalam pakej bahagian Betong termasuk projek di Rumah Panjang Ek dan Rumah Panjang Betty, Kabong.-EDISI UKAS