KUCHING: Kerajaan Sarawak akan terus komited dalam membantu pihak berkuasa menyekat masuk bekalan dadah dan bahan terlarang di negeri ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, pihak kerajaan negeri terus memberi sokongan penuh kepada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak untuk melaksanakan Operasi Penguatkuasaan Sulit dan Operasi Penguatkuasaan Bersepadu.
"Kerajaan Sarawak berharap semua pihak terus berganding bahu dan bekerjasama dalam membanteras aktiviti penyalahgunaan dadah yang kita anggap musuh nombor satu negara.
"Rakyat dan Kerajaan Sarawak perlu bekerjasama sebagai pasukan yang mantap untuk memastikan bahawa isu dadah dan bahan terlarang ini ditangani secara holistik dan bersepadu," tegasnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media Majlis-Majlis Para SUKMA XXI Sarawak 2024 dan Kejayaan Operasi Khas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak di sini, pada Selasa.
Dalam pada itu, Dato Sri Fatimah memberitahu, JSJN Sarawak telah merekodkan sebanyak 226 kes melibatkan 338 tangkapan bagi kesalahan membekal dan mengedar dadah dan bahan terlarang seluruh Sarawak dalam tempoh Januari hingga Julai 2024. -EDISI UKAS