Program Kecekapan-Rise Tingkat Kemahiran Golongan B40 & OKU Di Sarawak

Disiarkan pada 27 Aug 2024
Sumber Berita: UKAS



KUCHING: Program Kecekapan-Rise mampu memperkasakan golongan B40 dan orang kurang upaya (OKU) melalui peningkatan kemahiran.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato' Sri Nancy Shukri berkata, program tersebut menawarkan peluang kepada peserta untuk mendapatkan sijil dari universiti antarabangsa dengan sokongan penuh British Council.

“Sasaran awal kami adalah untuk melibatkan 500 peserta dari Sarawak namun setakat ini hanya 250 individu yang telah mendaftar.

“Program ini menggunakan pendekatan gamifikasi terutamanya dalam literasi kewangan yang bertujuan membantu golongan OKU dan mereka yang kurang berkemampuan dari segi akademik untuk mengasah kemahiran praktikal.

“Pendekatan ini diharap dapat memperkasakan mereka dalam bidang keusahawanan, membolehkan mereka berdikari dan mencari rezeki di masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas melancarkan Program Kecepakan-Rise di sini, pada Selasa.

Terdahulu, beliau merasmikan Majlis Tandatangan Nota Kerjasama Antara Yayasan Kebajikan Negara Malaysia dan UK-Malaysia Kecekapan Konsortium bagi Pelaksanaan Program Kecekapan-Rise.

Dato' Sri Nancy menambah, program tersebut membolehkan peserta belajar secara fleksibel mengikut kesesuaian masa mereka dan turut menyediakan penilaian bagi memastikan setiap peserta memperoleh manfaat yang optimum.

Beliau berkata, program tersebut merupakan fasa pertama yang dilaksanakan di Sarawak dengan harapan ia dapat diperluaskan ke negeri-negeri lain pada masa hadapan.

Jelasnya, selain daripada sokongan universiti tempatan seperti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Sains Malaysia (USM), program tersebut turut melibatkan kerjasama dengan Universiti Glasgow dan Aberdeen University dari United Kingdom yang berkongsi misi dalam membantu masyarakat kurang bernasib baik.

“Program ini terbuka kepada mereka yang berminat dan mereka yang sudah mendaftar akan melalui proses pembelajaran dalam talian menggunakan platform yang disediakan oleh universiti-universiti antarabangsa tersebut.

“Program ini juga menawarkan fleksibiliti pembelajaran yang tinggi dengan peserta diberi akses kepada bahan pembelajaran pada bila-bila masa yang sesuai bagi mereka,” ujar beliau lagi.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Datu, Azizul Annuar Adenan, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Kebajikan Negara Malaysia, Nordina Haron serta tetamu lain.-EDISI UKAS