Kampung Pesang Juara Pertandingan Kebersihan & Landskap Sungai DUN Tarat

Disiarkan pada 15 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


SIBURAN: Kampung Pesang muncul juara Pertandingan Kebersihan dan Landskap Sungai anjuran Lembaga Sungai-Sungai Sarawak dengan kerjasama Pusat Khidmat PBB N.20 Tarat.

Kejayaan tersebut membolehkan Kampung Pesang membawa pulang hadiah berupa wang tunai sebanyak RM6,000.

Manakala itu, Kampung Tarat Mawang dan Kampung Munggu Kopi masing-masing berjaya mendapat tempat naib johan dan ketiga sekaligus membawa pulang wang tunai RM4,000 dan RM2,500.

Kampung yang berjaya mendapat kedudukan tiga teratas masing-masing mendapat piala kejohanan dan sijil sebagai pengiktirafan daripada pihak penganjur.

Hadir menyempurnakan penyampaian hadiah bagi kesemua pemenang ialah Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Dato Sri Roland Sagah Wee Inn pada Sabtu.

Dato Sri Roland yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tarat juga melepaskan anak ikan ke dalam sungai di Kampung Pesang yang sudah diiktiraf bersih oleh jawatankuasa pertandingan.

Untuk rekod, sebanyak 17 buah kampung di kawasan DUN Tarat telah menyertai pertandingan tersebut.

Hadir sama, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Damen Rejek, Kontroler Lembaga Sungai-Sungai Sarawak Ding Tiew Wong, Residen Bahagian Serian Caroline Cleophas Joseph, Pengarah Jabatan Alam Sekitar Sarawak John Rampai, Pegawai Daerah Siburan Ranum Bari dan Ketua Kampung Pesang Dony Nuong. -EDISI UKAS