Dana MRP RM40,000 Disalurkan Kepada Belia Kampung Annah Sadir

Disiarkan pada 15 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


PADAWAN: Dana Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM40,000 disalurkan kepada Belia Kampung Annah Sadir.

Timbalan Menteri Pengangkutan (Jalan dan Udara) Datuk Dr Jerip Susil berkata, daripada dana itu, sebanyak RM20,000 merupakan peruntukan MRP bagi tahun 2024, manakala sebanyak RM20,000 lagi diluluskan untuk tahun 2025 bagi tujuan penganjuran program dan aktiviti mereka pada masa yang akan datang.

Datuk Dr Jerip yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong memberitahu, persatuan tersebut aktif menganjurkan aktiviti sukan yang mana dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara belia.

“Selain mengeratkan hubungan silaturahim, ia juga dapat menjauhkan golongan belia daripada terlibat dalam kegiatan yang tidak sihat seperti penyalahgunaan dadah,” jelas beliau.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Perasmian Kejohahan Bola Sepak 9 Sebelah Edisi Ke-5 anjuran Belia Kampung Annah Sadir pada Ahad.

Sementara itu, beliau memberitahu, bagi memantapkan lagi aktiviti sukan di kawasan Annah Sadir, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dengan kerjasama Belia Kampung Annah Sadir digesa untuk mengenal pasti kawasan yang sesuai bagi membangunkan sebuah kompleks sukan yang lengkap.

Dalam kejohanan tersebut, sebanyak 32 pasukan bola sepak telah mendaftarkan nama untuk berentap bagi merebut gelaran juara Piala Belia Sadir Edisi Ke-5 pada kali ini.

Pertandingan tersebut merupakan persiapan untuk mencari bakat yang akan diambil untuk mewakili pasukan Dewan Undangan Negeri (DUN) Mambong dalam kejohanan Piala Prima Bidayuh Edisi 2024 yang bakal diadakan tidak lama lagi.

Hadir sama, Penolong Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Kecil Padawan Paul Mathiues Akin, Temenggon Bidayuh Bahagian Kuching Atok Derop dan Ketua Kaum Kampung Annah Sadir Bobby Ham William. -EDISI UKAS