SIMUNJAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris telah meluangkan masa untuk merasmikan Karnival Futsal Madani 2024 di Arena Sri Nancy di sini, pada Ahad.
Menurut Awla, karnival yang diadakan itu adalah untuk menggalakkan anak muda sentiasa mengisi masa lapang dengan perkara berfaedah di samping merapatkan ukhuwah di antara anak-anak muda.
Jelas beliau, ia juga adalah salah satu untuk menarik minat anak muda untuk lebih dekat dengan sukan futsal selain mencintai cara hidup yang sihat serta bertenaga dengan bersukan.
Sementara itu, Pengerusi Karnival Futsal Madani, Abdul Muhtalip Tegak, memberitahu bawah karnival sehari itu dibahagi kepada dua kategori iaitu remaja bawah 16 tahun (Junior Cup U-16) dan wanita (Dewi Futsal).
Karnival Edisi Ke-5 bagi tahun ini telah diadakan di Simunjan dengan melibatkan sebanyak 16 pasukan bagi kategori remaja bawah 16 tahun manakala sebanyak enam pasukan bagi kategori wanita yang datang dari Lundu, Serian, Kuching, Gedong, Sadong Jaya, Samarahan dan Simunjan.
Bagi edisi di Simunjan ini, juara kategori remaja akan membawa pulang wang tunai RM550 berserta piala dan pingat manakala naib juara pula akan menerima wang tunai RM350 berserta piala dan pingat.
Manakala dua pasukan yang tewas pada peringkat separuh akhir masing-masing akan membawa pulang wang tunai RM150 berserta piala.
Bagi kategori wanita pula, juara akan memperolehi wang tunai RM500 berserta piala dan pingat, manakala RM300 berserta piala dan pingat untuk pasukan yang menduduki tempat kedua.
Sementara itu, wang tunai RM150 berserta piala akan diberikan kepada dua pasukan yang tewas pada peringkat separuh akhir dan menduduki tempat ketiga bersama. -EDISI UKAS