SADONG JAYA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris berkata pelajar yang berbakat dalam bidang sukan harus dikembangkan untuk melahirkan lebih ramai atlet negara pada masa akan datang.
Oleh itu katanya, pelbagai program sukan turut diadakan termasuklah melalui kejohanan pada hari ini bagi mencari atlet-atlet berbakat.
“Usaha mencungkil bakat pelajar harus bermula dari peringkat sekolah rendah kerana ia penting agar bakat-bakat mereka ini boleh dikembangkan ke tahap lebih tinggi apabila mereka sudah meningkat remaja.
"Sekarang ini selepas tamatnya Sukan Malaysia (SUKMA) di mana atlet-atlet yang mewakili negeri masing-masing dalam temasya itu adalah hasil daripada bakat-bakat yang dicungkil di peringkat sekolah" katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kejohanan Olahraga Tahunan dan Sukaneka Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di Sekolah Kebangsaan (SK) Terasi.
Awla juga turut menyeru ibu bapa agar menggalakkan anak-anak mereka melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti sukan di sekolah masing-masing.
Ini kerana, jelasnya, kekuatan fizikal boleh menyumbang kepada kecergasan otak anak-anak seterusnya memberi kesan positif terhadap prestasi akademik mereka.
Sebanyak tiga rumah mengambil bahagian pada kejohanan tersebut iaitu melibatkan Rumah Axia, Rumah Aruz dan Rumah Alza.
Turut hadir Penolong Pengarah Pendidikan Sektor Perancangan, Pejabat Pendidikan Daerah Samarahan Hasan Daud, Guru Besar SK Terasi Mohammad Ismail, Ketua Kaum Kampung Terasi Ulu Hamzah Samsawi, Tuai Rumah Kampung Terasi Iban Andi Rangga, Tuai Rumah Kampung Sungai Bundong Iban Sujar Usop serta ibu bapa, kakitangan sekolah dan guru-guru. -EDISI UKAS