Sarawak Bercadang Bangunkan Pelabuhan Baharu Di Tanjung Embang

Disiarkan pada 14 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Kerajaan Sarawak bercadang untuk membangunkan sebuah lagi pelabuhan baharu di Tanjung Embang. 

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, kebergantungan kawasan Kuching terhadap Pelabuhan Senari menjadikan pelabuhan tersebut sesak pada masa ini. 

Sehubungan dengan itu, satu pelabuhan dicadang untuk dibangunkan di Tanjung Embang yang mana ianya akan berada di laut seperti mana yang dibuat di Jepun. 

“Pelabuhan Senari seperti yang kita tahu kecil, jadi kita akan membuat satu pelabuhan baharu di Tanjung Embang. 

“Pelabuhan tersebut tidak akan dibangunkan di kawasan tanjung tetapi sebalik akan berada di laut. 

“Kita akan membuat apa yang dipanggil tebus guna tanah untuk membina pelabuhan tersebut,” jelas beliau. 

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Daerah Gedong di sebuah hotel di sini pada Ahad. 

Datuk Patinggi Abang Zohari yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gedong memberitahu, keputusan untuk membina pelabuhan tersebut di laut adalah untuk mengelakkan aktiviti mengorek pantai berlaku di kawasan berkenaan. 

“Kita tidak perlu lelah mengorek pantai kerana kedalaman di laut sudah mencukupi untuk membina pelabuhan. 

“Sekiranya sudah siap, pelabuhan ini akan dihubungkan ke pantai dan seterusnya ke Kota Samarahan dan Gedong,” tambah beliau lagi. 

Beliau percaya sekiranya negara maju seperti Jepun dan China berjaya melakukannya, adalah tidak mustahil cara yang sama digunakan untuk membina pelabuhan laut di perairan negeri ini. 

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang Dato Idris Buang, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan Datuk Rubiah Wang, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Penasihat Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak Dato Sri Mohd Naroden Majais, Ahli Parlimen Batang Sadong Rodiyah Sapiee, ADUN Simunjan Awla Dris, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan), Datu Dr. Muhammad Abdullah  Zaidel, Pengarah Tanah dan Survei Sarawak, Datu Abdullah Julaihi, Residen Bahagian Samarahan, Mohammad Irwan Bahari Bujang serta tetamu lain.-EDISI UKAS