Kejayaan Menjuarai SUKMA 2024 Selepas 30 Tahun Amat Membanggakan

Disiarkan pada 25 Aug 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Kejayaan Sarawak dinobatkan sebagai juara keseluruhan Sukan Malaysia (SUKMA) XXI 2024 pada hari ini amat membanggakan kerana ia bukan suatu kejayaan yang mudah untuk digapai.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, penat lelah para atlet Sarawak yang berjaya mengakhiri penantian 30 tahun bagi merangkul kejayaan semula diterjemahkan menerusi semangat juang yang tinggi.

Menurutnya, beliau mengakui kontinjen Sarawak menghadapi saingan sengit oleh kontinjen dari Wilayah Persekutuan sehingga ke hari terakhir temasya sukan ini.

"Tentu sekali saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada kontinjen Sarawak yang telah berjuang dengan begitu handal sekali.

"Saya ucapkan tahniah kepada semua yang telah melatih anak-anak Sarawak ini dan Alhamdulillah kali ini menjadi juara SUKMA 2024," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penutupan SUKMA XXI Sarawak 2024 di Stadium Perpaduan, di sini pada malam Sabtu.

Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Perdana Menteri Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Premier Sarawak menambah, kejayaan dalam penganjuran SUKMA edisi kali ini akan menjadi penanda aras sebagai penganjur bersama untuk Sukan Asia Tenggara (SEA) 2027.

Sementara itu, Datuk Patinggi Abang Zohari memberitahu, SUKMA juga menjadi platform anak-anak muda Malaysia untuk mengukir nama di pentas sukan antarabangsa.

"Saya percaya bahawa semangat kesukanan, perpaduan, dedikasi, disiplin yang tinggi akan memberikan masa depan yang cerah bukan sahaja kepada anak-anak muda tapi kepada semua rakyat Malaysia," katanya.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof, Yang Di-Pertua Dewan Negara Dato Awang Bemee Awang Ali Basah, Menteri Besar Selangor Dato' Seri Amiruddin Shari, Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Speaker DUN Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah, Menteri Belia Dan Sukan Hannah Yeoh, barisan Menteri-Menteri, Exco-exco dan timbalan-timbalan Menteri serta Exco, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki serta tetamu kenamaan lain.-EDISI UKAS