SUKMA 2024: Pasukan Kriket Wanita Sarawak Lakar Sejarah Penyertaan Pertama Kali Hadiah Pingat Gangsa

Disiarkan pada 24 Aug 2024
Sumber Berita: Ukas


KUCHING: Skuad kriket wanita Sarawak melakar sejarah tersendiri apabila meraih pingat gangsa bagi kategori T10 Wanita pada Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Sarawak 2024 yang berlangsung di Padang Kriket Petra Jaya, pada Sabtu.

Meskipun menamatkan saingan di tempat ketiga, namun ia merupakan pencapaian terbaik pasukan wanita menerusi penyertaan sulungnya dalam temasya kebangsaan itu.

Sarawak membutirkan gangsa selepas menundukkan Wilayah Persekutuan dengan kelebihan 68 larian 8 wiket pada aksi penentuan tempat ketiga.

Bagaimanapun Wilayah Persekutuan terpaksa berpuas hati dengan rekod 43 larian 10 wiket
sekali gus memastikan Sarawak mengenggam erat pingat gangsa untuk temasya SUKMA kali ini.

Skuad kriket Sarawak mengakhiri temasya SUKMA kali ini dengan menyumbang sebanyak satu pingat Perak dan satu pingat gangsa.

Dalam pada itu, kemeriahan suasana di padang kriket hari ini juga amat terasa dengan kehadiran penyokong Sarawak bagi memberi sokongan buat hari terakhir SUKMA pada edisi kali ini.-EDISI UKAS