Semangat Kesukarelaan Lengkapkan Mahasiswa Menjadi Graduan Cemerlang

Disiarkan pada 14 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS
MIRI: Semangat kesukarelaan dan prihatin terhadap masyarakat menjadi antara galakan untuk mahasiswa universiti dalam usaha memperlengkapkan diri menjadi graduan yang cemerlang.
 
Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin berkata, mahasiswa bukan sahaja perlu fokus terhadap pencapaian akademik, malah semangat kesukarelaan dan sumbangan terhadap masyarakat setempat turut menjadi keutamaan.
 
"Kemahiran sosial dapat dipelajari melalui semangat kesukarelaan, apabila anda melakukan sosial projek seperti Kelab Leo, kita dapat mempelajari kemahiran bekerjasama dalam satu pasukan, dan dengan tujuan menyempurnakan sesuatu tugasan serta menghulurkan bantuan kepada golongan kurang bernasib baik tanpa mengharapkan sebarang balasan" jelasnya dalam ucapan perasmian Curtin Leo Camp di Curtin University Sarawak pada Sabtu.
 
Tambah beliau, di peringkat universiti, pencapaian cemerlang dalam pembelajaran adalah penting.
 
Namun pada masa sama universiti dijadikan tempat untuk mahasiswa belajar mengenai kemahiran kemasyarakatan selain mengetahui sumbangan yang boleh diberikan kepada orang sekeliling.
 
Hadir sama, Presiden Kelab Leo Hoey Ting Ho Ey, Pengerusi Daerah untuk Kelab Leo Wilayah 1 - 4, Lina Hu Choo Ling dan Presiden Hos Kelab Lions Miri Bryant Chin. -EDISI UKAS