MIRI: Pasukan Pencak Silat Sarawak berjaya menyumbang dua lagi pingat emas melalui acara silat olahraga Mohamad Nurhasri Maxzakir setelah menewaskan Muhammad Raden Sabry Mohd Insan dari Pahang dalam saingan akhir putra kategori kelas E dengan jumlah kiraan mata 60-58.
Sementara itu pingat emas kedua Sarawak disumbangkan melalui acara putri kategori kelas B oleh Ummi Mashitah Hassan selepas menewaskan Nur Irhamna Qamariah Wira dengan kiraan mata 39-24 dari Kedah.
Timbalan Menteri Belia, Sukan Dan Usahawan Sarawak Datuk Dr Ripin Lamat berkata kem pencak silat Sarawak telah mencapai sasaran lima pingat emas dan tujuh gangsa pada SUKMA kali ini.
Beliau menzahirkan penghargaan kepada semua atlet yang telah berjuang sehabis baik walaupun terpaksa berdepan dengan beberapa isu sebelum ini.
“Dapat kita nampak jelas sekali, bukan sekadar pihak pengurusan malah juga orang ramai pun boleh melihat sendiri keadaan tersebut.
"Ini telah menimbulkan rasa tidak puas hati penonton-penonton dan juga atlet-atlet. Oleh itu, mereka berharap perkara ini tidak akan berlaku pada masa yang akan datang,” jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media yang diadakan di Pusat Media SUKMA Miri sejurus pertandingan acara pencak Silat Olahraga selesai pada Jumaat.
Justeru, beliau berharap semua pihak perlu bersedia untuk penganjuran Sukan Borneo dan Sukan SEA seperti yang diumumkan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg baru-baru ini. -EDISI UKAS