Syarikat Penerbangan Milik Sarawak Beri Pilihan Kepada Pengguna

Disiarkan pada 14 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS
KUCHING: Syarikat penerbangan milik Sarawak yang dijangka beroperasi pada tahun 2025 diyakini memberi banyak pilihan kepada pengguna perkhidmatan pengangkutan udara khususnya rakyat negeri ini.
 
Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Fazzrudin Abdul Rahman berkata, syarikat penerbangan milik Sarawak ini juga akan memberi saingan dan mungkin boleh menurunkan lagi harga tiket penerbangan.
 
“Kalau kita tempah tiket penerbangan sekarang melibatkan destinasi ke Kuala Lumpur dianggarkan tiket berharga di antara RM800 ke RM1,000.
 
“Itu kos yang agak tinggi dan kita berharap dengan adanya syarikat penerbangan ini mungkin dapat memberi saingan dan mungkin boleh menurunkan lagi harga tiket untuk anak-anak Sarawak kalau hendak ke Semenanjung atau sebaliknya,” katanya dalam Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjurannya di sini pada Ahad.
 
Dalam pada itu, Fazzrudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong memaklumkan pelajar Sarawak berpeluang mendapat inisiatif daripada Kerajaan Sarawak menerusi Inisiatif Graduan Pulang Sarawak (i-GPS).
 
“Program ini dilaksanakan oleh Sarawak Volunteers dengan Yayasan Sarawak di mana pelajar boleh mohon dua kali setahun.
 
“Sekali mohon RM300, kali kedua mohon RM600 jadi terpulang kepada mereka hendak menggunakan di musim perayaan atau musim bercuti bagi mengurangkan beban pelajar kita setiap tahun,” ujarnya.
 
Dalam pada itu, majlis rumah terbuka Hari Raya itu turut dimeriahkan lagi dengan kehadiran Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg serta isteri Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang. -EDISI UKAS