KUCHING: Kelly Yao Teo mencipta sensasi pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Sarawak 2024 apabila berjaya membawa pulang enam pingat emas pada edisi kali ini.
Pada hari terakhir di Pusat Akuatik Pandelela Rinong hari ini, beliau sekali lagi menaiki podium apabila memenangi perlumbaan 1,500 meter gaya bebas wanita.
Sebelum itu, beliau merangkul emas dalam acara renang 200 meter gaya bebas, 400 meter rampaian perseorangan, 200 meter gaya kuak lentang, 800 meter gaya bebas dan 400 meter gaya bebas.
Kejayaan manis itu menjadikan Kelly sebagai atlet yang paling banyak menyumbang pingat emas kepada kontinjen Sarawak.
Tidak hanya itu, ratu renang baharu Sarawak ini turut menyumbang satu perak dan dua gangsa dalam acara berpasukan, iaitu 4 x 200m gaya bebas, 4x100 rampaian berganti-ganti, dan 100m gaya kuak lentang.
Dalam sesi temu bual selepas majlis penyampaian hadiah, Kelly berkongsi bahawa pada awalnya dia hanya menyasarkan untuk meraih tiga pingat emas di SUKMA kali ini.
Namun, berkat dedikasi dan usaha gigihnya berlatih enam kali seminggu tanpa mengenal penat, beliau berjaya meraih kejayaan di luar jangkaannya sendiri.
Dengan senyuman manis terukir di wajahnya, Kelly Yao kini telah melakar namanya dalam sejarah sukan negara, meninggalkan legasi gemilang yang akan dikenang oleh semua yang menyaksikan momen bersejarah ini.-EDISI UKAS