Hari Raya Masa Rapatkan Ikatan Silaturahim

Disiarkan pada 14 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS

MUKAH: Perayaan Hari Raya Aidilfitri adalah masa untuk saling kunjung-mengunjungi dan bermaaf-maafan sesama keluarga dan rakan taulan.
 
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian Abdul Yakub Arbi berkata, penganjuran majlis rumah terbuka sempena Hari Raya merupakan peluang terbaik kepada masyarakat bagi mengeratkan lagi ikatan silaturahim.
 
"Keharmonian kaum dalam masyarakat kita secara langsung akan terus kekal dengan adanya budaya kunjung mengunjung ini," katanya semasa mengadakan Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri ADUN N58 Balingian di kediaman beliau di Mukah pada Sabtu.
 
Dalam pada itu, ADUN Tellian Royston Valentine yang turut sama menyantuni kunjungan rumah terbuka senada dengan Abdul Yakub dengan menjelaskan budaya kunjung mengunjung perlu dikekal sampai bila-bila.
 
"Kita melihat hari ini ramai tetamu yang datang tidak kira dari pelbagai latar belakang dan ini satu perkara yang sangat baik di mana kita dapat melihat perpaduan dari pelbagai kaum memeriahkan rumah terbuka aidilfitri ini.
 
Turut hadir, Residen Bahagian Mukah Kueh Lei Poh dan Pemangku Pegawai Daerah Mukah Peleadzman Ahip. -EDISI UKAS