Sarawak Sambar Emas Hari Terakhir Acara Terjun

Disiarkan pada 23 Aug 2024
Sumber Berita: Ukas


KUCHING: Gandingan serasi penerjun Sarawak, Muhammad Lutfir Rahman Mohammad Razak dan Nurul Farisya Alia Affendi berjaya merangkul pingat emas dalam acara platform seirama campuran 10 meter pada hari terakhir acara terjun Sukan Malaysia (SUKMA) XXI 2024.

Dalam acara itu, mereka unggul menewaskan lawan dengan mengumpul 234.66 mata untuk muncul juara di Pusat Akuatik Pandelela Rinong, Petra Jaya.

Megat Azim Hakimi Megat Nor Ismail dan Cecelia Olivai Christopher Leoneil dari Perak tidak pulang dengan tangan kosong apabila meraih pingat perak dengan pungutan mata 209.94.

Manakala, wakil daripada Wilayah Persekutuan, Jia Gee Ng dan Nurqayyum Nazmi Mohamad Nazim turut menampilkan aksi cemerlang dengan pungutan mata 203.97 untuk membawa pulang pingat gangsa.

Semasa ditemui pemberita, Muhammad Lutfir Rahman yang baru berusia 15 tahun itu memberitahu walau agak gementar semasa acara tadi namun masih menetapkan sasaran untuk menyertai peringkat yang lebih tinggi seperti Terbuka Malaysia dan Kejuaraan Dunia Junior.

“Target saya seterusnya mungkin ke trial, ke Malaysia Open dan World Junior. Dari segi cabaran sebentar saya yakin boleh tetapi agak gementar kerana latihan tidak berapa dan takut tidak dapat memberi prestasi yang cemerlang,” katanya.
Dalam pada itu, Nurul Farisya turut berkongsi pengalaman semasa acara itu di mana beliau sempat menenangkan gandingannya.

“Rilek, kita boleh. Kita pun BD besar, sikda apa mok takut, kita boleh,” katanya.

Untuk rekod, gandingan asal Muhammad Lutfir Rahman Mohammad Razak iaitu Nurul Farisya terpaksa menarik diri dua bulan sebelum pertandingan akibat kecederaan.

Sementara itu, Wilayah Persekutuan, Yiat Qing Lee telah meleburkan harapan Sarawak untuk meraih pingat emas dengan kumpulan mata 231.20 bagi acara 3 meter papan anjal wanita.

Persaingan sengit itu menyaksikan Nur Eilisha Rania Muhammad Abrar Raj membawa pulang pingat perak dengan kumpulan mata 228.25 dan Dayang Nursharzyra Awang Nasaruddin dengan pingat gangsa mengumpul mata 225.70.

Hadir menyampaikan pingat kepada para pemenang ialah Chef De Mission (CDM) kontinjen Sarawak merangkap Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Gerald Rentap Jabu dan Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Datuk Mohammad Razi Sitam.-EDISI UKAS