Keharmonian Kaum, Kestabilan Politik Di Sarawak Datang Secara Semula Jadi

Disiarkan pada 14 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS
KUCHING: Keharmonian kaum dan kestabilan politik di Sarawak yang menjadi teras perpaduan datang secara semula jadi.
 
Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar berkata, keharmonian yang terhasil daripada perpaduan antara rakyat Sarawak merupakan satu keistimewaan buat negeri Bumi Kenyalang.
 
"Bagi mencapai perkara ini, kita harus mempunyai kestabilan politik, kepelbagaian kaum yang hidup dengan harmoni tanpa mengira bangsa dan agama di Sarawak.
 
"Kita berasa bangga dan berterima kasih kerana rakyat negeri ini telah bersatu padu, dapat hidup dalam harmoni, bertoleransi selain saling menghormati antara satu sama lain," katanya.
 
Beliau berkata demikian dalam Majlis Ramah Tamah Aidilfitri 2024 Dewan Undangan Negeri dan Rumah Terbuka Hari Raya Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia di DUN, Petra Jaya di sini pada Ahad.
 
Sementara itu, majlis itu turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi.
 
Turut hadir dalam majlis tersebut Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Openg serta isteri Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang.
 
Majlis juga dimeriahkan dengan kehadiran, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Prof. Dr Sim kui Hian, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, Menteri di Jabatan Premier Sarawak Dato SriJohn Sikie Tayai, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Timbalan-Timbalan Menteri serta Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Sarawak. -EDISI UKAS