Skuad Futsal Sarawak Pamer 'Taring' Benam Perak, Berjaya Mara Ke Final

Disiarkan pada 23 Aug 2024
Sumber Berita: Ukas


KOTA SAMARAHAN: Skuad futsal lelaki Sarawak bagi Sukan Malaysia (SUKMA) XXI 2024 melakar sejarah dengan kemenangan bergaya ke atas Perak 7-3 sekali gus mara ke final dalam satu perlawanan yang cukup sengit dan mendebarkan di Stadium Tertutup Kota Samarahan pada Rabu.

Skuad bimbingan Faizal Zamri tidak menunggu lama untuk membuka dua jaringan hasil penyudah Asyraff Zakaris pada minit ke-2.

Bagaimanapun, pasukan lawan berjaya merapatkan jurang gol hasil jaringan Abdul Hadi Muhamad Azhan pada minit ke-3.

Kedudukan tersebut tidak kekal lama apabila gol ketiga Sarawak dijaringkan oleh Mohammad Nazir Mahdini pada minit ke-9 sekali gus mengukuhkan kedudukan Sarawak 3-1.

Perak terus memberikan tindak balas dengan dua gol menerusi Mohamad Amirul Aiman Mohamad Hamdan dan Matias Danisan pada minit ke-11 dan ke-12 untuk mengikat kedudukan 3-3 sama sehingga tamat babak separuh masa pertama.

Memasuki babak kedua, Asyraff Zakaris sekali lagi menunjukkan ketajamannya dengan melengkapkan hatrik dan meletakkan Sarawak di hadapan pada minit ke-21, menjadikan kedudukan 4-3.

Sarawak terus memperkukuhkan kedudukan mereka pada minit ke-28 apabila Mohamad Zainulariffin Mohamad Zain menjaringkan gol kelima, meletakkan Sarawak selesa di hadapan Perak.

Pada minit ke-38, pemain Sarawak, Mohamad Shahmi Suhardi menjaringkan gol keenam seterusnya menambah luka kepada skuad futsal Perak.

Pada minit-minit terakhir permainan, Sarawak memastikan kemenangan mereka dengan jaringan mudah dari Mohamad Nazwan Airil Mohamad Haykal yang sekaligus menjadikan kedudukan akhir 7-3.

Pertembungan itu menyaksikan aksi mendebarkan dari kedua-dua pasukan, namun Sarawak berjaya menunjukkan dominasi mereka di laman sendiri dengan kemenangan bergaya untuk melangkah ke peringkat akhir dalam misi memburu pingat emas.

Hadir menyaksikan perlawanan dan memberikan sokongan serta semangat kepada pasukan Sarawak ialah Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan merangkap ACDM Sukan Futsal, Datuk Ir Aidel Lariwoo dan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol.

Skuad Sarawak dijadual bertemu pasukan Selangor bagi penentuan pingat emas di Stadium Tertutup Kota Samarahan jam 3 petang pada Jumaat ini.-EDISI UKAS