Sarawak Skills Komited Bangunkan Bakat Muda Mahir Bidang Teknikal

Disiarkan pada 23 Aug 2024
Sumber Berita: Ukas


KUCHING: Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak atau Sarawak Skills, komited untuk terus menyediakan latihan dan menyokong pembangunan bakat bagi memenuhi keperluan industri masa depan.

Pengerusi Majlis Pengurusan Sarawak Skills, Tan Sri Datuk Amar (Dr) Abdul Aziz Datuk Husain berkata, usaha ini adalah sebahagian daripada strategi pihaknya untuk melahirkan tenaga kerja yang mahir dalam bidang teknikal dan tertentu untuk bersaing di pasaran kerja global.

Pertumbuhan industri ini jelasnya, membuka peluang kepada anak-anak muda terutama lepasan sekolah, untuk memperoleh pekerjaan yang baik dalam sektor teknikal.

"Sekarang banyak bidang-bidang teknikal baru yang dibangunkan oleh kerajaan Sarawak seperti pembangunan hidrogen dan Sistem Aliran Transit Automasi (ART).

"Jadi, kita memerlukan pakar-pakar dalam kemahiran teknikal bagi memenuhi permintaan industri yang semakin berkembang,"katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Wisma Bapa Malaysia, di sini pada Rabu.

Hadir sama ialah Setiausaha Majlis Pengurusan Sarawak Skills Dato Maznah Dasmi, Pengarah Eksekutif Sarawak Skills Hallman Sabri, Ketua Pegawai Strategik Bahagian Penglibatan Strategik dan Pembangunan Perniagaan Sarawak Skills Mohamad Isham Fauzi serta kenamaan yang lain.

Mengulas lanjut, Tan Sri Aziz memberitahu, tujuan kunjungan hormat itu juga adalah untuk mengundang Datuk Patinggi Abang Zohari ke Majlis Sambutan Ulang Tahun Sarawak Skills ke-30, yang akan diadakan pada 23 Ogos ini, di Hotel Riverside Kuching.-Edisi UKAS