KUCHING: Tiga penerjun Sarawak terus menyumbang pingat pada hari ketiga saingan di Pusat Akuatik Pandelela Rinong di sini pada Rabu.
Nurul Farisya Alia Affendi mengekalkan aksi memukau untuk menambah satu lagi koleksi emas beliau dengan memunggut 241.90 mata dalam acara 10 meter papan anjal perempuan.
Lebih manis rakan sepejuangan Nur Eilisha Rania Muhammad Abrar Raj turut meraih pingat gangsa dengan kutipan mata 231.45.
Penerjun Wilayah Persekutuan Yiat Qing Lee terpaksa akur dikedudukan kedua dengan 241.10 mata.
Sementara itu, seorang lagi penerjun Sarawak, Muhammad Lutfir Rahman berjaya meraih pingat perak dengan jumlah kutipan mata 277.40 bagi acara 1 meter papan anjal lelaki.
Pingat emas acara itu dimenangi penerjun Wilayah Persekutuan Nurqayyum Nazmi Mohamad Nazim yang mendapat mata tertinggi 335.35.
Manakala penerjun kontinjen Terangganu, Muhammad Haris Mohd Rezal mendapat tempat ketiga dengan mata 273.65.
Majlis penyerahan pingat disempurnakan oleh Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah dan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Mohammad Razi Sitam.
Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) merangkap Ketua Pegawai Eksekutif SUKMA XXI Sarawak 2024, Datu Hii Chang Kee turut hadir menyaksikan acara itu. -EDISI UKAS