KUCHING: Lontaran sejauh 12.61 meter oleh atlet lontar peluru wanita Perlis, Farhana Izurein Faizal Amizul mengejutkan atlet tuan rumah, Voon Pei Ling sekaligus memadamkan impian beliau untuk menghadiahkan emas buat Sarawak.
Akui sedikit terkejut dengan rekod tersebut, Pei Ling mendedahkan lontaran yang dibuat dalam mana-mana pertandingan sebelum Sukan Malaysia (SUKMA) XXI hanya setakat 11 meter sahaja.
“Saya memang tidak menjangkakan ada atlet yang mampu membuat lontaran melebihi 12 meter kerana semasa Terbuka Malaysia sebelum ini, rata-rata atlet yang mengambil bahagian hanya mampu membuat lontaran sejauh 11 meter sahaja.
“Jadi hari ini saya agak terkejut tetapi ini meningkatkan semangat saya untuk memecahkan rekod dengan sasaran saya agar dapat membuat lontaran melebihi 14 meter,” jelasnya.
Pei Ling semasa acara lontar peluru wanita yang berlangsung di Stadium Sarawak pada Khamis berjaya membuat lontaran terbaik dalam enam percubaan sejauh 11.88 meter untuk menghadiahkan sebutir lagi perak buat kontinjen tuan rumah.
Manakala, atlet dari Kedah, Nurul Aqma Mohd Nizam berjaya mendapatkan gangsa buat negerinya dengan lontaran sejauh 11.25 meter.
Sementara itu, rakan senegerinya yang juga pemegang rekod SUKMA bagi acara rejam lembing wanita, Ng Jing Xian akur di kedudukan ke-6 setelah enam percubaannya hanya mampu mencatat lontaran sejauh 10.37 meter.
Setakat hari ini, kem olahraga Sarawak berada di kedudukan ke-4 secara keseluruhannya dari segi kutipan pingat dengan empat emas, empat perak dan lapan gangsa. -EDISI UKAS