SIBU: Budaya membaca harus dipupuk dalam kalangan pelajar sekolah agar dapat menambah ilmu untuk bekalan hidup kemudian hari.
Dalam hal ini, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menganjurkan Program Gerak Gempur Majalah Dalam Kelas (MDK) Peringkat Sarawak bertujuan memperkasakan budaya membaca dalam kalangan pelajar dan menggalakkan penggunaan bahan bacaan yang berkualiti sebagai sumber rujukan.
Dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sibu, program tersebut berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Methodist Sibu dan juga telah dianjurkan di SMK Tun Abang Haji Openg Kuching, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Miri dan SM Sains Miri.
Timbalan Pengarah DBP Cawangan Sarawak, Abdul Rasid Haji Subet berkata, program seperti ini dapat melahirkan pelajar yang menjadikan amalan membaca sebagai budaya dalam kehidupan.
“Justeru bagi memastikan para pelajar mendapat keputusan peperiksaan yang cemerlang mereka perlu mendapatkan seberapa banyak ilmu yang bermanfaat daripada bahan yang bermutu,” ujarnya.
Selain itu, program MDK boleh mengasah dan memperkembangkan bakat serta mencungkil potensi diri pelajar dalam bidang penulisan.
Peserta yang terlibat turut diberikan penerangan tentang ruangan dalam majalah terbitan DBP yang memberikan peluang kepada guru dan pelajar untuk menghasilkan karya.
Difahamkan, seramai 300 peserta dalam kalangan guru dan pelajar dari 24 sekolah dalam kawasan Sibu telah terlibat.
Para peserta telah diberikan taklimat tentang penulisan cerpen, puisi dan esei yang sesuai untuk diterbitkan serta penerangan cara penggunaan majalah sebagai alat bantu pembelajaran yang dapat dipraktikkan oleh pelajar di dalam kelas.
Hadir sama Pengetua SMK Methodist Sibu Philip Ling Swee Me dan Timbalan Ketua Editor Majalah DBP Kuala Lumpur Aninah Janang. -EDISI UKAS