MIRI: Pasukan Pencak Silat Sarawak telah menyumbang tiga lagi pingat emas dan satu pingat gangsa melalui acara Acara Jurus Wajib Regu Putra, Jurus Wajib Regu Putri, Solo Kreatif Putra dan Solo Baku (Tunggal) Putri pada aksi berlangsung di Stadium Bandaraya Miri pada Selasa.
Emas pertama Sarawak telah diperolehi dalam acara Pencak Silat kategori Jurus Wajib Regu Putra, dengan penampilan Ahmad Danial Abdullah, Mohammad Nur Azlisham Mohd Ali dan Suhaiqal Suhardie menewaskan pasukan Selangor.
Manakala, emas kedua telah dimenangi oleh kontinjen Bumi Kenyalang dalam Kategori Jurus Wajib Regu Putri dengan penampilan, Nuradriani Fitri Abdullah, Nur Alfianiz Jordon dan Vivina Anging Johnton menewaskan trio pesilat Johor.
Kilauan emas sekali lagi dimenangi oleh pasukan Sarawak dengan penampilan Mohammad Shamiezal Shapian dalam kategori Solo Kreatif Putra, selepas menewaskan pesilat Wilayah Persekutuan Muhammad Faris Zakwan Mohd Ridzuan.
Ketua Jurulatih Silat Sarawak, Fadzil Jamain berkata, Sukan Malaysia ke-21 (SUKMA XXI) pasukan pesilat Sarawak telah menampilkan 99 peratus muka baharu, dengan jumlah keseluruhan 34 pesilat dan telah membuahkan hasil yang positif setakat ini.
Timbalan Menteri Belia, Sukan Dan Usahawan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lambir, Datuk Dr Ripin Lamat yang turut hadir menyaksikan pertandingan melahirkan rasa kagum dan gembira dengan prestasi yang ditampilkan oleh pesilat Sarawak. -EDISI UKAS