RM400,000 Diluluskan Bina Baru Dewan Serbaguna Kampung Braang Bidak

Disiarkan pada 14 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


PADAWAN: Dana projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) sebanyak  RM400,000 telah diluluskan untuk membina baharu Dewan Serbaguna Kampung Braang Bidak. 

Perkara tersebut diumumkan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Udara dan Jalan) Datuk Dr Jerip Susil dalam Majlis Perasmian Jalan ke Air Terjun Sebarau pada Sabtu. 

Turut diadakan sempena majlis pada malam itu adalah penetapan tapak menbina dewan serbaguna baharu tersebut. 

Datuk Dr Jerip yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong memberitahu, Kampung Braang Bidak kini mempunyai perancangan pembangunan yang pesat dalam perancangan jangka panjang yang akan dilaksanakan dari masa ke semasa. 

Dalam mendepani pembangunan, beliau turut menyeru kepada rakyat untuk terus membangunkan sektor pertanian dan pelancongan di kampung tersebut memandangkan kawasan tersebut mempunyai potensi besar dalam sektor tersebut. 

Di akhir ucapan beliau, Datuk Dr Jerip turut menyalurkan peruntukan RM500,000 kepada Persatuan Bidayuh Braang Padawan untuk membangunkan pusat penjaja di kampung berkenaan. 

Mengulas mengenai majlis tersebut, beliau memberitahu projek yang menelan perbelanjaan berjumlah RM300,000 akan merancakkan lagi aktiviti pelancongan di kawasan berkenaan kerana sudah adanya akses jalan yang baik kepada orang luar dan tempatan. 

Hadir sama, Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Kecil Padawan Julius Scott Sapong, Penghulu Bidayuh kawasan Braang Bengoh Tora Joseph, Ketua Kaum Braang Bidak Burn Ambel serta barisan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) kawasan Braang Bengoh. -EDISI UKAS