Tangan Emas Jing Xuan Padam Rekod Lama Rejam Lembing

Posted on 22 Aug 2024
Source of News: UKAS
KUCHING: Bagaikan keajaiban, ramalan atlet rejam lembing wanita Sarawak, Ng Jing Xuan untuk mencantas rekod Sukan Malaysia (SUKMA) menjadi kenyataan pada SUKMA ke-21 2024.
Menurut Jing Xuan, beliau pada temasya SUKMA 2022 yang lalu sudah menjangka serta berkeyakinan untuk memecahkan rekod yang dipegang Ho Sin Hui yang juga dari Sarawak dengan catatan 44.98 meter pada edisi 2008 di Terengganu.
“Pada temasya SUKMA edisi 2022, saya sudah menjangkakan saya akan membuat rekod pada temasya kali ini memandangkan Sarawak akan menjadi tuan rumah.
“Suasana bertanding di gelanggang sendiri sememangnya sangat bagus dan maka itu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua penyokong, jurulatih, keluarga dan warga media,” jelasnya.
Acara rejam lembing wanita yang berlangsung di Stadium Sarawak pada petang Rabu menyaksikan satu lagi momen bersejarah buat tuan rumah apabila Jing Xuan berjaya membuat rejaman sejauh 45.12 meter untuk memadam rekod lama sebelum ini sekaligus menambah sebutir lagi emas buat Sarawak.
Lebih manis lagi, rejaman dilakukan pada percubaan kedua atlet berusia 20 tahun itu yang menjadi pemecah rekod kejohanan disaksikan oleh isteri Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi.
Mulai berjinak dalam sukan merejam lembing seawal umur 13 tahun, Jing Xia yang berasal dari Miri memberitahu, ahli keluarganya tidak pernah mempersoalkan minatnya malah memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi dengan keputusannya itu.
“Ahli keluarga saya sangat-sangat menyokong keputusan saya sejak saya menceburi sukan rejam lembing ini pada umur 13 tahun.
“Dalam mana-mana sukan pun, keluarga saya tidak akan membantah sebaliknya memberi kebebasan kepada saya untuk membuat pilihan terbaik buat diri sendiri,” ujarnya lagi.
Setakat ini, Jing Xuan merupakan atlet ketiga dari kontinjen tuan rumah yang berjaya memecahkan rekod kejohanan selepas Jonah Chang Rigan dalam acara lontar peluru lelaki dan Hii Puong Wei menerusi acara 200 meter kuak lentang.
Sementara itu, pingat perak jatuh kepada Terengganu apabila atletnya, Noor Aliya Alias berjaya membuat rejaman sejauh 39.11 meter manakala negeri Sabah membawa pulang gangsa menerusi atletnya, Maryjane Juberin dengan jarak sejauh 39.01 meter. -EDISI UKAS