Sarawak Kenal Pasti 10 Lembangan Sungai Untuk Jana Kuasa Hidro

Disiarkan pada 14 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (MUTS) sudah mengenal pasti 10 lembangan sungai yang sesuai dibangunkan untuk menjana kuasa hidro.

Menterinya, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, lembangan-lembangan sungai yang telah dikenal pasti akan dibangunkan menggunakan teknologi terkini untuk menjadikannya sebagai sumber kuasa hidro melata.

“Kita akan menggunakan teknologi dan pendekatan baharu untuk kita bangunkan kuasa hidro kita yang menggunakan arus sungai.

“Kita telah mengenal pasti 10 lembangan sungai untuk dibangunkan dan tiga daripadanya telah dikemukakan kepada kerajaan Sarawak untuk dibangunkan menjadi sumber kuasa hidro melata,” jelas beliau.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media semasa Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran beliau di kediamannya pada Ahad.

Dato Sri Julaihi menambah, pihak MUTS akan membuat perbincangan dengan pegawai-pegawai daerah dan pemimpin di peringkat akar umbi tentang cara melibatkan penduduk setempat dalam projek ini.

“Saya rasa apa yang perlu kita lakukan sekarang ialah kita akan melibatkan penglibatan masyarakat tempatan di mana kementerian dan Sarawak Energy Berhad (SEB) akan bekerjasama rapat dengan Residen dan Pejabat Daerah serta pemimpin akar umbi untuk membincangkan penglibatan mereka.

“Maknanya, penduduk tempatan dapat melibatkan diri mereka dalam pembangunan sumber kuasa hidro melata tetapi SEB akan sentiasa menjadi peneraju mereka.

“Hal ini kerana, sistem pengedaran dan transmisi tenaga ini dimiliki dan dikendalikan oleh SEB,” jelas beliau lagi.

Penambahan kuasa hidro ini adalah bagi menyahut impian Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg untuk mengeluarkan tenaga sebanyak 10 Gigawatt menjelang 2030.

Sekitar jam 2 petang, Datuk Patinggi Abang Zohari dan isteri Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang berkesempatan untuk berkunjung ke Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran beliau.

Hadir sama dalam kunjungan Aidilfitri tersebut ialah Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom serta dif-dif kenamaan yang lain. -EDISI UKAS